31 August, 2012

Peragut dibelasah orang awam

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki yang meragut beg tangan milik seorang wanita tempatan akhirnya mengundang padah apabila dia cedera dibelasah orang awam yang menangkapnya ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Asia City, di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. Suspek berusia 26 tahun itu berjaya ditangkap sebelum dibelasah orang ramai, kira-kira 100 meter dari lokasi dia melarikan beg tangan seorang wanita berusia 30an.

Menurut saksi, ketika kejadian mangsa sedang berjalan seorang diri sebelum didatangi suspek dari arah belakang yang bertindak meragut dan melarikan beg tangannya.

“Lelaki itu mungkin sudah lama memerhatikan mangsa dan hanya menunggu masa untuk meragut. Sebaik melihat mangsa berjalan berseorangan, lelaki itu terus meragut beg tangannya sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

“Mangsa yang terkejut cuba mengejar suspek dan tindakannya itu disedari beberapa orang awam yang kemudiannya memberi pertolongan,” katanya yang enggan dikenali.

Saksi itu berkata, suspek mempunyai tatu di bahagian pergelangan tangan itu cuba melarikan diri menuju ke sebuah pasaraya berdekatan, namun berjaya disekat orang ramai yang kemudian membelasahnya di jalan raya.

Difahamkan, suspek mengalami kecederaan di bahagian muka dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Sumber:
Utusan Borneo

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More