11 September, 2012

Wanita kecewa mahu bunuh diri


SANDAKAN: Seorang wanita dipercayai putus cinta yang cuba terjun dari tingkat enam sebuah bangunan hotel di bandar Labuk Batu 7 berjaya diselamatkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis, pagi Isnin.

Wanita yang berbangsa Cina dan dikatakan berasal dari Semenanjung itu diberitahu datang ke sini untuk melancong.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, wanita berkenaan dikatakan telah mendaftar masuk ke dalam hotel itu sebelum bertindak berdiri di luar tingkap bangunan hotel terbabit.

Pihak polis bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah memujuk wanita berkenaan tetapi wanita itu enggan masuk ke bangunan hotel.

Kelihatan wanita itu sempat diberikan air minum dan menghisap rokok di luar kaki lima tingkap bangunan hotel berkenaan.

Kejadian yang mencemaskan itu telah menyebabkan tiga anggota bomba terpaksa menangkap wanita berkenaan selepas lalai dibawa berbual oleh pihak polis di tingkap berhadapan wanita terbabit.

Kira-kira jam 10.55 pagi, wanita berusia 33 tahun itu berjaya dibawa masuk melalui tingkap hotel berkenaan oleh tiga anggota bomba yang menangkapnya sebelum diserahkan kepada pihak pihak polis.

Difahamkan semasa wanita berkenaan berdiri di kaki lima tingkap hotel berkenaan, dia telah membuat panggilan telefon kepada ibunya dan satu panggilan lagi kepada bekas kekasihnya itu yang berasal dari Tawau.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba Zon Sandakan, Timbalan Penguasa Ordine Gilu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.46 pagi.

Tiga kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama 15 anggota telah bergegas ke lokasi kejadian, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata wanita yang cuba bertindak terjun itu dikatakan telah putus cinta dengan kekasihnya.

Sejurus pasukan penyelamat berjaya menangkapnya, pihak polis telah membawa wanita berkenaan ke balai polis untuk siasatan lanjut, katanya.

Rowell memberitahu pihaknya masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.



News source:
The Borneo Post

1 comments:

ada jalan yang lebih baik untuk mengatasi kecewa bukan dengan cara begini

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More